|
Rakaman Takbir Aidilfitri bersama RTM
Pada 20 Ogos 2010 (Jumaat), Unit Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara, Bahagian Media JAKIM dan CIMB Bank Berhad telah bersama-sama menganjurkan Majlis Berbuka Puasa dan Program Rakaman Takbir Hari Raya untuk siaran RTM (TV1 dan TV2) sepanjang Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bagi tahun 2010. Kira-kira 300 orang termasuk pegawai dan kakitangan Masjid Negara, pegawai tertinggi dan kakitangan CIMB Bank Berhad, JAKIM, JAWI, telah menjayakannya sehingga sempurna. Rakaman takbir tersebut diketuai Imam Besar Masjid Negara, YBhg. Tan Sri Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad dan bilal, Ustaz Shah Azri bin Ahmad serta Pengarah Eksekutif CIMB Bank Berhad, YBhg. Dato’ Sulaiman bin Mohd. Tahir.
CIMB Bank Berhad juga berbesar hati untuk menyumbangkan jamuan berbuka puasa dan moreh pada hari tersebut untuk semua para jemaah yang berbuka puasa di Masjid Negara.


|
|
|
Rakaman Takbir Aildilfitri bersama Media Prima
Pada 4 Ogos 2010 (Rabu), Unit Perhubungan Awam dan Pusat Sumber, Masjid Negara dengan kerjasama Primeworks Studio Sdn. Bhd. telah mengadakan program Rakaman Takbir Hari Raya di Masjid Negara untuk siaran TV3 dan TV9 sepanjang Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bagi tahun 2010. Imam Besar Masjid Negara, YBhg. Tan Sri Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad dan bilal, Ustaz Jeffri bin Bujang telah mengetuai bacaan takbir raya tersebut. Turut sama mengetuai takbir ialah wakil Media Prima Berhad dan peserta Akademi Al-Quran TV9.
Kira-kira 450 orang termasuk pegawai dan kakitangan Masjid Negara, JAKIM, JAWI, Jabatan Penerangan, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Wilayah Persekutuan, wakil Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) PDRM, Royal Terengganu Endurance Stable serta personaliti dan artis di bawah naungan Media Prima Berhad bersama-sama menjayakannya.


|
|
"AHLAN WASAHLAN WA MARHABAN YA RAMADHAN"

Masjid Negara, Kuala Lumpur mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat beramal kepada seluruh muslimin dan muslimat.
Kami juga menjemput seluruh muslimin dan muslimat hadir menunaikan solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadhan 1431H di Masjid Negara. Solat sunat tarawih akan dipimpin oleh imam jemputan dari Mesir, iaitu Sheikh Abd Elrahman Eldesouky Taha Redwan.
Antara program-program yang berlangsung di Masjid Negara sepanjang Ramadhan ialah:
- Solat sunat tarawih (dipimpin oleh Sheikh Abd Elrahman Eldesouky Taha Redwan)
- Program berbuka puasa
- Tadarus al-Quran
- Majlis Khatam al-Quran
- Majlis Sambutan Nuzul al-Quran
- Kuliah Zohor (setiap hari)
- Qiamullail (10 terakhir Ramadhan)
- Kaunter Zakat Fitrah
Firman Allah Ta'ala : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Surah al-Baqarah, ayat 185
http://www.quranexplorer.com/quran/ |
|
|
|
|
Page 2 of 2 |