
Maksudnya :
“ Dialah Allah yang menurunkan hujan dari langit, maka tumbuhlah daripadanya tumbuh-tumbuhan, kemudian kami keluarkan daripadanya tanam-tanaman yang menghijau, kemudian kami keluarkan daripada tanaman itu butir-butir ( buah-buahan ) yang bergugus-gugus, dan dari pohon-pohon tamar ( kurma) kami keluarkan tandan-tandan yang mudah dicapai dan dipetik, dan kami jadikan dari kebun-kebun anggur dan zaitun serta delima, yang bersamaan bentuk dan rasanya dan ada yang tidak bersamaan, perhatikanlah buahnya apabila ia berbuah dan masak, sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (mengenai kekuasaan kami) bagi orang yang berfikir”.
(Al-An’am:99)
Alhamdulillah, kita selalu melewati musim buah-buahan. Di sana sini dari utara semenanjung hingga ke selatan, di supermarket atau di gerai tepi jalan , atau di rumah-rumah, kita dapat melihat buah-buahan seperti rambutan, manggis, duku, langsat, cempedak dan durian dengan banyaknya. Apakah pengajaran yang boleh kita dapati dari musim itu ?
Bersyukur adalah manifestasi iman yang tertanam di lubuk hati setiap mukmin, tampanya kita hanya mampu melihat sesuatu kejadian dari sudut luaran dan kaca mata kebendaan “ materialistik “, kalaupun tidak terbabas ketika melakukan analisis kerana mengaitkan setiap kejadian hanya sebagai kejadian alam.
Begitulah dengan kedatangan musim durian ini, kita wajib bersyukur kepada Allah ,kerana dialah sahaja yang mampu menentukan kejadian monsun , musim panas atau hujan atau malapetaka seperti ribut taufan , kerana monsun atau musim itu sangat berperanan menentukan kedatnagn musim buah , malah mutu buah durian. Apatah lagi bila musim buah durian yang banyak serta elok dan harganya di pasaran terus berada pada tahap menguntungkan para petani.
Allah berfirman yang maksudnya :
“Jika kamu mensyukuri nikmat-Ku akan Ku tambah, tapi jika kamu kufur, ingatlah azab-Ku amatlah pedih” - (Surah Ibrahim : 7)
Sesungguhnya musim buah adalah sangat sinonim dengan keimanan kita kepada Allah, kerana Allah boleh menjadikan sesuatu musim itu ” menjadi ” atau sebaliknya , jika musim itu ” menjadi” maka akan keluarlah buah- buah yang banyak serta elok mutunya dan mempunyai harga di pasaran. Sebaliknya sesuatu musim itu ”tidak menjadi ”, kerana buah yang tidak banyak, atau banyak dimakan ulat, mangka ( isi yang keras) dan lainnya. Selain itu Allah juga boleh membuatkan harga sesuatu buah itu mahal atau sebaliknya di pasaran. Al-Quran juga mempunyai kisah kenikmatan warga syurganya dengan buah-buahan yang tidak bermusim, buahnya yang semakin enak rasanya apabila semakin banyak kita memakannya, seperti yang dikisahkan dalam surah al-Waqiah ayat 32-33,
“ Serta buah-buahan yang banyak. Yang tidak putus- putus dan tidak pula dilarang mendapatkannya”.
PENGAJARAN DARI MUSIM BUAH
1. Bersyukur kepada Allah .
Ø Berterima kasih kepada generasi terdahulu yang telah meninggalkan kepada kita pokok-pokok durian, hasil usaha ikhlas mereka dan gigih berusaha memajukan keluarga dan masyarakat semata-mata mencari keredaan ALLAH.
Kita patut berterima kasih kepada generasi yang terdahulu kerana bukan sahaja mewariskan kita pokok-pokok durian, malah nilai-nilai yang baik yang boleh dijadikan pengajaran buat kita.
Apakah pendorong yang mendorong generasi terdahulu menanam pokok-pokok termasuk pokok durian untuk kita ? pendorongnya adalah agama, walaupun mereka tidak dapat menghujah dengan nas-nas agama yang berkaitan dengan usaha menanam itu, tapi mereka akan menyebut berulang-ulang apabila kita tanya mereka kenapa mereka menanam pokok durian ini sedangkan mereka sudah tua ! mereka akan kaitkan dengan “sedekah jariah “, “untuk anak cucu saya”, dan “untuk bekalan akhirat !”
Maknanya bagi generasi yang tidak sempat melihat forum Hal Ehwal Islam pengajian al-quran dari TV. ini, mereka masih dapat menghayati menghayati ajaran agama lebih dari kita yang banyak terdedah dengan maklumat mengenai agama , melalui pendidikan, media masa dan elektronik serta teknologi-teknologi moden lainnya. Hari ini kalau kita menanam pokok durian apakah dorongannya ? sudah tentu komerselais.
2. Keharmonian hidup.
Musim buah sangat sinonim dengan keharmonian hidup, bertolong bantu / bersedekah, dengan mengadakan kenduri arwah dan kesyukuran. Kedatangan musim buah adalah satu kegembiraan bagi warga kampung, bukan tujuan komerselais, kerana mereka tidak akan menjual durian-durian tersebut, durian tersebut hanya menjadi rebutan anak cucu mereka, sedekah buat saudara mara dan jiran-jiran mereka, bakinya nanti jika ada barulah mereka jual.
Anak cucu mereka akan mendirikan pondok-pondok durian digunakan untuk menunggu buah-buah durian gugur, maka berhimpunlah mereka beramai-ramai di waktu malam, berlampukan kasih sayang, berbekal tolak ansur dan mengutamakan orang lain dari diri sendiri. Maka lahirlah kekeluargaan yang padu, kasih sayang yang luhur, dan bertolong bantu yang tidak mengharapkan balasan sesama mereka. Sang nenda tersenyum puas melihat senario kerjasama antara cucu-cucunya.
Apabila durian sudah gugur dengan banyak maka orang kampung mula merancang kenduri arwah dan kesyukuran, selain dari memberi sedekah ,kepada saudara mara dan jiran -jiran, mereka juga tidak melupakan kebahagiaan generasi terdahulu yang telah meninggalkan kita, dengan mengirim doa kebahagiaan buat mereka. “Hablum minallah terbina dan Hablum minannasi terpelihara “.
4. Berziarah sumber perpaduan.
Ø Kita gunakan kesempatan membawa keluarga, untuk pulang menziarahi kaum keluarga , terutama ibu bapa sambil menikmati durian dan buah-buah lainnya. Buat kita generasi yang kekurangan waktu, ketirisan rasa kekeluargaan, dahagakan kasih sayang, berjauhan dengan keluarga, kita boleh tumpang sekaki dengan kedatangan musim buah ini untuk membawa anak-anak pulang kampung “Homestay” . Bawa khemah tidur berhimpit-himpit bawah pokok durian memanaskan kasih sayang sesama ahli keluarga yang tinggal suam-suam.
Sebelum malam eloklah kita bawa anak-anak ziarah Pak long , andak, Pak tam, dan keluarga lainnya yang banyak berjasa kepada kita, ingat tak waktu kita makan beramai –ramai ubi rebus bercecah kelapa parut masam manis, dalam dulang atas pangkin penuh tahi ayam di bawah rumah usang Pak long ?, minum kopi suam buatan sendiri. Ingat tak kita bagaimana paniknya Mak long bila kita serbu dapurnya ketika hampir waktu makan, kerana takut tak cukup ikan kering dan goreng telur ayam kampungnya ? ingat tak kita bagaimana marahnya pak long bila kolamnya keruh apabila kita berkubang ketika dia ke kebun menoreh getah. Ingat tak lagi apabila pak long libas punggung kita dengan tali pinggang hajinya , kalau kita tak pandai mengaji atau lewat bangun subuh ?.
Wahai orang “town” yang telah berjaya ingatlah jasa –jasa Pak long itu, jangan jadi kacang lupakan kulit, hulur-hulurlah sikit Pak long tu. Setelah selesai ziarah eloklah bawa anak-anak dan keluarga ziarah kubur datuk nenek dan keluarga kita, agar anak-anak tahu kesudahan hidup ini. Bukan selamanya boleh tinggal dalam rumah dan kereta berhawa dingin.
5- Membawa kawan balik kampung.
Ø Kita boleh mengajak kawan-kawan yang tidak pernah merasai suasana musim buah di kampung, untuk datang ke kampung kita.
Musim buah ini juga kita boleh bantu kawan-kwan kita yang kononnya sudah tidak ada kampung, atau tak dapat pulang kampung, atau sudah lupa asal usul kampungnya untuk melihat-lihat kampung kita. Bawalah mereka untuk melihat pokok getah, mencium buah kopi yang menjadikan hidup mereka bahagia kerana dapat minum nescafe di waktu pagi di bandar. Kenalkan mereka kepada orang-orang tua bongkok tiga di kampung yang masih terus bekerja, bukan malas seperti anak perkasa kita. Paling penting bawalah mereka ke surau atau masjid kampung kita, untuk mereka melihat bagaimana kuatnya ibadah orang-orang kampung walaupun penat bekerja seharian, tiada cuti hujung minggu, dan tak pernah minum nescafe dan kopi redik atau tongkat ali ! tapi sembahyang tarawih mereka tetap 23 rakaat.
6. Mengadakan kenduri kesyukuran dan tahlil arwah
Ø Kita boleh gunakan kesempatan ini untuk mengadakan kenduri arwah untuk arwah ibu bapa dan kaum keluarga kita, dan menziarahi pusara mereka.
Kita juga boleh mengambil kesempatan pulang kampung musim buah ini untuk menganjurkan kenduri arwah dan kesyukuran., Sambil bertanya khabar, ambil tahu siapa yang sakit, siapa yang akan mengadakan kenduri kahwin , siapa yang akan ke Mekah ? Siapa yang meninggal, siapa anaknya yang berjaya ke universiti, siapa yang gagal mendapat tempat belajar dan biasiswa , bolehlah kita bantu kot ? Orang town dan bergaji besarlah katakan !
Bila malam jemputan kenduri sudah berkumpul sebelum kita menyerahkan kepada imam untuk memulakan majlis doa selamat, eloklah kita mulakan majlis dengan memperkenalkan siapa diri kita dan memberi sedikit ucapan berbentuk motivasi untuk orang kampung agar bersyukur kerana dapat hidup aman damai di negara Malaysia bertuah ini, ajak mereka mengutamakan pendidikan anak-anak dari yang lain dan jangan berpecah belah, dan jangan ketinggalan mengingatkan mereka semua agar berpegang teguh dengan tali agama dan adat yang baik-baik, jangan terlajak cakap orang putih sudahlah. Jangan lupa bawa kain pelekat dan baju Melayu berserta songkok untuk dipakai waktu majlis.
7. Membaja pokok
Ø Kita gunakan kesempatan untuk membaja pokok- pokok durian dan buah-buahan lainnya , dan membersihkan kebun kita dari rumput rumpai dan dari semak samun.
Ø Mengambil pengajaran betapa orang yang bekerja dengan jujur dan ikhlas , akan menghasilkan kerja yang berkualiti dan berkekalan menjadi kenangan sepanjang masa, walaupun setelah kita meninggal dunia.
8. Hidup umpama durian dan timun.
Ø Hidup ini umpama durian dan mentimun, pada satu ketika kita boleh melenyek timun , tapi jangan lupa pada suatu ketika nanti timun pula akan melenyek kita bila kita sudah jadi tempoyak.
Hidup kita ini ada turun naiknya, ada pasang surutnya jangan lupa diri ketika sedang diuji dengan kesenangan dan kejayaan oleh Allah, pepatah Melayu ada berkata “ ikutlah resmi padi semakin berisi semakin tunduk “, Rasulullah s.a.w ada berpesan yang berbunyi :
“Ingatlah lima sebelum datangnya lima, waktu lapang sebelum datangnya sempit, waktu muda sebelum datangnya tua , waktu sihat sebelum datangnya sakit, waktu kaya sebelum datangnya miskin, waktu hidup sebelum datangnya mati “.
KESIMPULAN
Sesungguhnya Tuhan tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia, semuanya ada pengajaran yang tersirat di sebalik nya, begitulah dengan kedatangan musim buah-buahan ini, sesungguhnya tersirat di dalam pengajaran yang amat sarat buat mendidik kita , seperti bersyukur, berterima kasih pada generasi silam, membalas budi, mengingati ibu bapa dan kaum keluarga yang banyak berjasa kepada kejayaan yang kita capai hari ini, dan yang paling penting jangan lupa asal usul kita, dan ke mana sudahnya hidup ini.
Oleh : Ustaz Haji Ali bin Sarbini
IMAM MASJID NEGARA